Economics is the social science that analyzes the production, distribution, and consumption of goods and services.

Wednesday, 30 May 2012

PERODUA kaji keluar model sedan

Berita Harian 31 mei 2012
Oleh Che Wan Badrul Alias
2012/05/31



PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sedang mengkaji kemungkinan untuk mengeluarkan model sedan pertamanya tidak lama lagi.

Model berkenaan dijangka menerapkan beberapa elemen daripada model prototaip, Bezza yang sebelum ini diperkenalkan kepada umum ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010.

Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata kajian itu adalah sebahagian daripada usaha PERODUA untuk memenuhi permintaan pengguna yang mahukan pengeluar kereta nasional kedua itu menambah portfolio model kenderaannya kepada sekitar empat atau lima berbanding hanya tiga pilihan ketika ini.
Katanya, syarikat amat berminat untuk membangunkan model baru sedan pada masa depan.

Namun, katanya, ia perlu mendapat kelulusan kerajaan, pemegang saham, Lembaga Pengarah dan lebih-lebih lagi Daihatsu yang terkenal dengan pengkhususannya dalam segmen kereta kompak.

“Kami sedang mengkaji semua ini kerana bukan mudah untuk membangunkan model baru itu dan kami sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak Daihatsu.

“Bezza adalah model konsep yang kami banggakan kerana ia membuktikan keupayaan dan kepakaran yang syarikat miliki hasil daripada kerjasama kukuh dengan rakan teknologi PERODUA.
“Namun kami sentiasa mencari jalan untuk memaksimumkan keupayaan yang kami miliki ini dalam model keluaran akan datang. Kalau kami tak boleh buat Bezza secara keseluruhan, akan ada elemen daripada model ini yang akan kami gunakan untuk keluaran model baru nanti,” katanya pada sidang media selepas memeterai memorandum pembelian sebidang tanah milik UMW Corporation Sdn Bhd di Rawang, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan UMW Corporation, Datuk Syed Hisyam Syed Wazir.

Menerusi perjanjian itu, PERODUA membeli 25.9 hektar kawasan berharga RM16.7 juta daripada UMW Corporation berhampiran lokasi ibu pejabatnya di Sungai Choh, Rawang untuk dibangunkan dengan kemudahan baru serta menambah prasarana bagi kemudahan sedia adanya.

Kemudahan baru yang dirancangnya meliputi masjid, pusat penjagaan kanak-kanak, gimnasium mini, lapangan letak kereta tambahan dan prasarana utiliti yang semuanya akan dibangunkan secara berperingkat.

Ketika ditanya sama ada UMW membenarkan PERODUA membangunkan kereta sedan, Syed Hisyam berkata, pihaknya sentiasa menyokong semua usaha yang cuba dilaksanakan untuk mengembangkan perniagaannya.

Katanya, ia termasuk cadangannya membangunkan model baru dan peruntukkan pelaburan baru kerana pihaknya amat gembira dengan prestasi yang dicapai PERODUA ketika ini.

“Sebagai pemegang saham tunggal terbesar PERODUA iaitu dengan pegangan 38 peratus, kami sentiasa menyokong perancangan pengembangan mereka lebih-lebih lagi di bawah kepimpinan Aminar Rashid yang berjaya memacu PERODUA ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

0 comments: